bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Semua parti politik wajar membentuk kerjasama untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang dipimpin Ahli Parlimen yang boleh diterima semua pihak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata realitinya kini tiada gabungan parti politik mempunyai majoriti mudah di dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan dan tiada siapa mahu pilihan raya diadakan sekarang.
Katanya, UMNO juga mesti bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menjadi pembangkang sehingga pilihan raya akan datang serta melakukan semak dan imbang kepada kerajaan yang sekali gus mengembalikan kredibiliti UMNO di mata rakyat.
“Segala rundingan berkaitan pelantikan Perdana Menteri dan Kabinet antara parti-parti politik mesti dilakukan oleh presiden dan timbalan presiden UMNO sebagai wakil UMNO.
“Setiap keputusan mestilah datang daripada MKT UMNO dan semua ahli mesti patuh kepada keputusan parti. UMNO tidak lagi perlu bertolak ansur dengan mana-mana Ahli Parlimen yang memilih untuk tidak patuh kepada keputusan yang dibuat MKT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tugas pertama parti-parti politik yang berunding adalah untuk mencapai persetujuan berkenaan tempoh dan objektif Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan.
“Pada pandangan saya kerajaan perpaduan perlu bertindak sebagai kerajaan sementara untuk satu tempoh masa yang tetap iaitu 12 bulan sehingga pilihan raya diadakan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan itu mesti menumpukan kepada empat perkara utama iaitu tumpuan untuk membawa keluar Malaysia daripada wabak COVID-19 dengan mencapai imuniti kelompok secepat yang mungkin melalui program vaksinasi yang diuruskan secara telus.
Seterusnya, kata beliau kerajaan baharu mesti mengutamakan kebajikan rakyat yang sangat terkesan dengan kegagalan kerajaan sebelum ini menangani wabak COVID-19 dengan berkesan, dengan bantuan menyeluruh dan lebih cepat perlu sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Kerajaan juga mesti menguruskan kewangan awam secara berkesan dan telus dengan keutamaan diberikan untuk meningkatkan sistem perkhidmatan kesihatan awam.
“(Selain itu) kerajaan mesti memastikan perniagaan boleh dibuka semula secepat yang mungkin dengan panduan yang jelas dan ketat,” katanya.
Selain itu, katanya, semua Ahli Parlimen UMNO mesti meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan peribadi masing-masing
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan 17 bulan kerajaan PN yang menyebabkan negara kehilangan kelebihan ekonomi yang kita ada disebabkan oleh ketidakcekapan dan ketidakstabilan yang wujud semasa pemerintahan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




