farihad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib Sepahtu meminta orang ramai tidak berkongsi foto atau video yang memaparkan Allahyarham Siti Sarah Raissiddin dalam keadaan tidak menutup aurat dengan sempurna, di media sosial.
Menerusi entri yang dimuat naik di Instagram (IG), sebentar tadi, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, meminta jasa baik mana-mana pihak yang memuat naik foto atau video seumpama itu agar segera memadamkannya, demi menghormati arwah isterinya itu.
“Assalamulaikum semua. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, bidadari syurga saya.
“Tetapi saya ada permintaan iaitu saya memohon kepada semua untuk tidak mengeluarkan lagi gambar dan video arwah yang tidak menutup auratnya dengan sempurna.
“Saya juga memohon kepada mereka yang sudah berkongsi foto atau video itu di media sosial agar mengeluarkannya,” katanya.
Bekas penyampai Hot FM itu juga berharap segala kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Siti Sarah sepanjang hayatnya tidak lagi digembar-gemburkan kerana bimbang disalah erti.
“Saya juga memohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarham secara berlebih-lebihan. Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita.
“Insya-Allah semoga kita diberkati dan dirahmati Allah” katanya.
Isnin lalu, Allahyarham Siti Sarah, 36, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 5.13 pagi, selepas bertarung dengan COVID-19.
Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak jam 1.20 tengah hari, pada hari sama.
Allahyarham Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan secara pembedahan, minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




