Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel terpaksa melupakan dahulu kerjaya seninya buat sementara waktu setelah mengalami kecederaan pada bahagian rahang ketika terlibat dalam kemalangan pada hari Khamis lepas.
Pengarah Urusan Peace World Entertainment, Usaid Hamdi yang mewakili Naim memberitahu bahawa pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 itu dinasihatkan doktor untuk berehat setelah kesakitannya semakin teruk semenjak semalam.
“Naim hanya bertahan dengan ubat penahan sakit sejak kemalangan. Naim masih nak meneruskan kerja, tetapi mengadu rahang bertambah sakit semalam. Jadi, doktor menasihatkan memberi ruang untuk Naim berehat buat sementara waktu”, katanya kepada media BH Online ketika ditemui dalam majlis pelancaran lagu Lara pada hari ini. Naim tidak hadir pada majlis berkenaan.
Pada masa yang sama, Usaid meminta supaya peminat Naim mendoakan kesihatan penyanyi lagu Sembah dan Sumpah itu agar segera pulih dan dapat bekerja semula seperti biasa.
“Doakan kesejahteraan Naim, semoga pulih secepat mungkin”, katanya lagi.
Baru-baru ini, Naim dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) yang mengakibatkan darah beku dalam gusi dan rahangnya terkehel.
Sumber: BH Online
Akmal Hakim
Glamour Desk



