faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis menahan 16 individu termasuk lima wanita di sebuah kondominium dekat Kajang hari ini, selepas disyaki terbabit kegiatan perjudian dalam talian.
Dalam Operasi Pusat Panggilan bermula jam 2 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang memberkas lima warga Indonesia, lapan Thailand dan bakinya individu tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid, berkata pihaknya turut merampas 21 telefon bimbit, 11 monitor komputer, 13 komputer riba dan tujuh modem bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kegiatan judi itu beroperasi di lima unit kediaman dekat kondominium itu dengan bayaran sewa berjumlah RM2,000 sebulan bagi setiap unit.
“Mereka menggunakan laman web www.cw88.club, aplikasi WhatsApp dan Line bagi tujuan menganjur, mengurus serta mempromosi aktiviti perjudian dalam talian seperti mega888 ,Cw88, Joker 123 dan 918 kiss.
“Beberapa suspek dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan, manakala bakinya berperanan sebagai penyelia dan pengurus tempat perjudian yang mengaut keuntungan mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sehari.
“Kegiatan berkenaan aktif sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan warga tempatan dan Thailand,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a)(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1953.
© New Straits Times Press (M) Bhd




