zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan sementara projek naturalisasi, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera tetap berpeluang untuk mendapat status ‘harimau import’.
Ia susulan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa pihaknya tidak menghalang hasrat mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menaturalisasikan pemain mereka.
“Kalau ada pasukan yang mahu menaturalisasikan pemain mereka, itu hak masing masing dan FAM tiada halangan,” kata Hamidin selepas mesyuarat kedua jawatankuasa eksekutif FAM secara maya, Selasa lalu.
Ia bermaksud pemain kelahiran Argentina itu masih berpeluang mendapat status pemain naturalisasi, namun ia perlu dilakukan oleh JDT selepas Cabrera memenuhi syarat lima tahun beraksi di Liga M pada musim ini.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Disember lalu juga mendedahkan bahawa Cabrera yang menyertai skuad Harimau Selatan sejak 2017 berkemungkinan akan mendapat taraf kerakyatan negara ini.
“Untuk tahun depan (ini) kemungkinan Cabrera akan dapat kerakyatan dan boleh bermain untuk negara,” kata Tunku Ismail dalam satu temu bual bersama stesen televisyen swasta sebelum ini.
Selasa lalu, BH Sukan melaporkan tiada lagi kelibat pemain naturalisasi baharu yang bakal ditagih buat masa ini selepas Hamidin mengesahkan projek naturalisasi untuk memperkasa skuad kebangsaan ditangguhkan buat sementara waktu.
Katanya, langkah itu bertepatan dengan perancangan sebelum ini untuk menggunakan pemain naturalisasi terbabit pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan ia akan dinilai semula bagi kitaran kelayakan seterusnya.
Ia sekali gus menyaksikan hanya tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula akan memperkuat skuad kebangsaan untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




