Pasangan Russia dituduh lakukan pembunuhan ritual

Pasangan Russia dituduh lakukan pembunuhan ritual

MOSCOW: Penyiasat Russia hari ini berkata, mereka menyiasat pasangan Moscow yang adalah anggota pemuja syaitan atas pembabitan mereka dalam sekurang-kurangnya dua pembunuhan ritual.

Jawatankuasa Penyiasat dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang menyiasat tuduhan membunuh dan mengedar dadah terhadap Olga Bolshakova dan Andrei Tregubenko.

Katanya, kedua-duanya bertemu atas minat bersama mereka dalam ‘gerakan agama dan mistik penyembah syaitan, yang membabitkan ritual dengan pengorbanan manusia’.

Menurut penyiasat, Tregubenko telah menikam seorang kenalan di sebuah hutan di wilayah utara Karelia, mahu mengorbankannya menerusi ritual.

Wanita itu mati di tempat kejadian akibat luka tikaman.

Siasatan kemudian membuktikan pembabitan pasangan itu dalam pembunuhan ‘ritual’ lain di sebuah bandar di utara Saint Petersburg, bandar kedua terbesar Russia.

Mangsa kedua, seorang lelaki, dipukul dan kemudian dibunuh dengan pisau, kata penyiasat.

Mereka menambah bahawa, mayat dan pakaiannya ditemui di tempat kejadian.

Saluran berita Mash, yang dihoskan di aplikasi pesanan Telegram, awal bulan ini menyatakan bahawa Bolshakova telah membuat perjanjian dengan penyiasat dan mengakui pembabitannya dalam pembunuhan itu.

Pasangan itu juga menghadapi tuduhan mengedar dadah selepas sejumlah besar dadah dijumpai di rumah mereka di pinggir bandar Moscow. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top