Covid-19: Sidang DUN Johor ditangguh lagi – Utusan Digital

Covid-19: Sidang DUN Johor ditangguh lagi – Utusan Digital

JOHOR BAHRU: Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Kota Iskandar sekali lagi ditangguh ekoran terdapat kes Covid-19 dilaporkan di dewan berkenaan, hari ini.

Sidang yang berbaki dua hari iaitu pada esok dan Rabu kini ditangguhkan kepada 6 dan 7 September ini bermula pukul 9.30 pagi.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat berkata, penangguhan tersebut dibuat di bawah Peraturan Tetap Bilangan 7(3) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Negeri Johor.

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilakukan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesyorkan sidang ditangguhkan susulan perkembangan terbaru penularan Covid-19 semasa sesi sidang berlangsung.

“Semua ahli dewan sudah dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut kerana kita tidak mahu mengambil apa-apa risiko,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, sebentar tadi.

Semalam, akhbar melaporkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dibenarkan mengikuti sesi persidangan berikutan keadaan kesihatan dan salah seorang daripada mereka disahkan positif.

Bagaimanapun, difahamkan jangkitan terbaru ini tidak melibatkan ADUN, sebaliknya petugas di dewan berkenaan.

Sementara itu, ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan ketika dihubungi turut memaklumkan penangguhan tersebut selepas menerima maklumat daripada pengurusan dewan.

Pada 12 Ogos lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada sesi pembukaan bertitah agar sidang DUN ditangguhkan sekiranya terdapat ancaman risiko.

Baginda turut bimbang dengan keadaan semasa, tambahan pula terdapat varian Covid-19 baharu yang lebih mudah berjangkit dan cepat merebak sehingga meragut nyawa pesakit.

Scroll to Top