Kesihatan awam, vaksin kaedah tangani Delta

Kesihatan awam, vaksin kaedah tangani Delta

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penularan varian Delta ketika ini hanya dapat diatasi melalui dua kaedah, iaitu pembudayaan amalan kesihatan awam dan pemberian vaksin COVID-19 secara menyeluruh ke atas setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Profesor Epidemiologi, Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata ketika ini, tiada kaedah berkesan lain yang dikenal pasti dan diterbitkan penerbitan perubatan antarabangsa untuk membendung penularan varian itu.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu segera mempertimbangkan keperluan suntikan dos penggalak dengan menjalankan kajian antibodi ke atas sampel darah petugas barisan hadapan yang sudah menerima pelalian pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita perlu lihat sama ada antibodi dalam kalangan petugas kesihatan berkurangan selepas suatu tempoh atau tidak serta keberkesanannya terhadap varian Delta.

“Saya rasa kita tidak boleh hanya tunggu hasil kajian antarabangsa dalam hal ini. Ini selepas mengambil kira faktor varian Delta juga mampu menjangkiti individu lengkap vaksinasi walaupun tahap keparahannya kurang berbanding golongan belum menerima pelalian.

“Petugas barisan hadapan perlu dilindungi terlebih dahulu kerana mereka adalah kumpulan yang akan memastikan sistem kesihatan tidak lumpuh, jika negara berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan,” katanya kepada BH.

Mengenai strategi semasa bagi membendung COVID-19, Dr Jamalludin berkata, pihaknya optimis ia masih dilandasan tepat untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus terbabit.

“Kita sukar untuk bendung penularan varian Delta secara menyeluruh kerana data daripada kajian antarabangsa menunjukkan ia sangat mudah tersebar.

“Malah, individu lengkap divaksin atau tidak juga menunjukkan bacaan ‘viral load’ yang sama. Perbezaannya, (viral load) bagi golongan sudah divaksin akan lebih mudah hilang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top