TERAJU bantu Bumiputera ceburi 'ekonomi pandemik'

TERAJU bantu Bumiputera ceburi 'ekonomi pandemik'

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melancarkan dana pembiayaan berjumlah RM200 juta di bawah Program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera (BSC).

Dana itu akan ditawarkan menerusi kerjasama strategik dengan SME Bank dan Bank Muamalat Malaysia Bhd, yang masing-masing menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM100 juta untuk sektor borong dan runcit serta sektor penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, berkata fokus di bawah program itu adalah sektor ‘ekonomi pandemik’ yang sangat berpotensi dan relevan untuk diceburi oleh Bumiputera.

Katanya, pembiayaan itu juga merangkumi bidang logistik di dalam sektor borong dan runcit serta penjagaan kesihatan, di mana penyertaan kaum Bumiputera masih rendah.

“Industri logistik sedia ada menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan 40,000 syarikat, namun hanya 5,000 syarikat atau 12.5 peratus adalah milik Bumiputera.

“Adalah satu kerugian jika bidang yang berdaya saing ini tidak dapat disertai kaum Bumiputera di atas sebab kekangan aliran tunai dan sebagainya.

“Justeru, fokus dan aspirasi besar TERAJU selaku penyelaras utama agenda pemerkasaan Bumiputera adalah untuk meningkatkan pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui program pembiayaan seperti ini demi mencapai sasaran RM15.9 bilion lebihan operasi kasar Bumiputera dalam bidang logistik menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai kerjasama strategik BSC secara maya, hari ini.

Pada majlis itu, SME Bank diwakili oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail manakala Bank Muamalat oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.

Kerjasama TERAJU bersama SME Bank melalui BSC dalam sektor borong dan runcit itu adalah kesinambungan kepada program dana TERAS sejak 2012.

Ia bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada PKS Bumiputera di dalam keseluruhan rantaian bekalan bagi sektor borong dan runcit yang merangkumi pengilang, pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit seterusnya pembekal perkhidmatan termasuklah logistik.

Sementara itu, kerjasama TERAJU bersama Bank Mualamat adalah dalam sektor penjagaan kesihatan merangkumi produk dan perkhidmatan.

Fokus utama adalah mencari penyelesaian untuk menangani isu utama dan cabaran yang dihadapi oleh PKS Bumiputera di sepanjang rantaian bekalan, terutama bagi perolehan bekalan pada harga yang berpatutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top