Hafizh akui sunyi tahun depan

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui berasa sedih kerana cuma dirinya menjadi wakil tunggal negara untuk beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia pada musim depan.

Hafizh akan menjadi wakil tunggal negara setelah sebelum ini seorang lagi pelumba Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin mengesahkan tidak akan beraksi di saingan MotoGP pada musim depan.

Ia setelah Kasma serta pasukannya, SAG Team mencapai persetujuan bersama untuk berpisah walaupun masih mempunyai baki kontrak dengan SAG Team.

Terdahulu, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi tidak dapat meneruskan saingan di Moto3 setelah Petronas Sprinta Racing tidak menyambung kontraknya.

Bagaimanapun, Hafizh percaya bukan dirinya sahaja kecewa, bahkan peminat sukan permotoran negara juga merasai perasaan yang sama.

“Saya faham tumpuan kini akan terarah kepada saya sahaja. Sudah pasti saya akan lakukan yang terbaik tetapi saya tak berani untuk menjanjikan apa-apa. Sebab pasukan yang saya sertai masih baharu dan memerlukan masa untuk meraih keputusan terbaik”, katanya merujuk kepada pasukan baharunya, NTS RW Racing GP.

Disebalik kekecewaan itu, Hafizh tetap berharap akan ada lagi pelumba negara beraksi bersamanya selepas ini di pentas kejohanan dunia.

“Memang saya harap satu hari nanti ramai pelumba Malaysia yang boleh gantikan tempat saya di Kejohanan Dunia”, katanya.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

 

Scroll to Top