PETALING JAYA: “Mendapat perkhabaran berita sedih pagi ini, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah kembali ke rahmatullah’”
Demikian tulis Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam laman Facebook milik beliau.
Menurutnya, arwah merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
“Allahyarham juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada 1999 kerana jasa-jasanya dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia,” katanya.
Abdul Hadi berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.
“Saya mewakili Pas mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Semoga sabar dan tabah atas ujian ini. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di sebuah hospital kerana komplikasi Covid-19.
Arwah dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras pada 7 Ogos lalu akibat komplikasi Covid-19.




