KPDNHEP pastikan tiada kenaikan harga barang

KPDNHEP pastikan tiada kenaikan harga barang

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Tiada kenaikan harga barangan secara keterlaluan dan memastikan barangan keperluan utama mencukupi bagi menampung keperluan rakyat adalah agenda utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata mengawal kenaikan harga barangan antara tumpuan utama akan diberi perhatian bagi mengelakkan seluruh rakyat terus terbeban susulan penularan pandemik COVID-19.

Katanya, rakyat juga perlu memainkan peranan bagi membantu usaha kerajaan menangani masalah kenaikan harga barangan, terutama barangan keperluan utama.

“Kita akan pastikan semua barangan keperluan utama mencukupi untuk menampung keperluan rakyat selain memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menganiaya masyarakat.

“Saya juga akan berbincang dengan Menteri, Datuk Alexander Nanta Linggi mencari kaedah bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan keperluan utama bukan sahaja dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan baharu, malah secara berterusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob menetapkan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Rosol berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan meneruskan cadangan untuk mengawal harga kit ujian COVID-19.

“Walaupun Kit ujian COVID-19 bukan di bawah bidang kuasa KPDNHEP, peralatan itu adalah barangan keperluan pengguna dan kawalan harga perlu dilakukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top