COVID-19 dan Brain Fog

Kuala  Lumpur: Setakat 2 September, seramai 1,506, 273 pesakit COVID di Malaysia kini telah pulih. Lazimnya, pesakit mengambil masa 2 hingga 6 minggu untuk pulih dari COVID-19. Namun, terdapat sebilangan pesakit yang masih mengalami gejala berlanjutan. Malah ada segelintir bekas pesakit yang terpaksa bergelut dengan gejala ini berbulan-bulan lamanya setelah sembuh. Keadaan kesihatan yang berlanjutan lebih dari 3 bulan ini dikenali sebagai sindrom “Long COVID”. Di antara gejala yang dilaporkan adalah seperti kelesuan, keletihan, kesukaran bernafas dan Brain Fog (kabut otak)

Apakah yang dimaksudkan dengan Brain Fog ini? Secara amnya, gejala ini digambarkan sebagai pengalaman individu yang mengalami lemah daya ingatan, kesukaran menumpukan perhatian dan pemikiran. Gejala Brain Fog ini juga termasuk kesukaran mencari perkataan, kesukaran dengan kelancaran pertuturan, aliran pemikiran serta perbualan yang kerap terganggu.  Situasi sebegini mempengaruhi produktiviti kerja terutamanya bagi mereka yang bertugas di sektor pendidikan. Gejala brain fog juga kadangkala bertindih dengan gejala-gejala lain seperti keresahan dan kemurungan.

Apakah yang menyebabkan berlakunya Brain Fog? Buat masa kini, punca sebenar masih belum diketahui namun penyelidik telah mengenal pasti beberapa kemungkinan. Antaranya termasuk:

  • Kekurangan oksigen yang disebabkan oleh kerosakan paru-paru
  • Keradangan yang mempengaruhi sel otak
  • Gangguan autoimun yang menyebabkan sistem imun menyerang sel yang sihat di dalam badan
  • Kekurangan aliran darah yang disebabkan oleh pembengkakan saluran darah kecil di otak

Berapa kerapkah gejala Brain Fog ini berlaku di kalangan pesakit COVID yang telah sembuh? Dalam penemuan awal kajian tinjauan kami yang dilakukan di kalangan pemandiri COVID (COVID survivor) lebih daripada 50% responden melaporkan pengalaman gejala Brain Fog sehingga 6 minggu selepas sembuh. Lebih kurang 20% melaporkan Brain Fog sehingga 12 minggu dan 10% lagi mangalaminya selama 6 bulan . Pada masa kini, masih tidak jelas mengapa hanya sesetengah orang sahaja yang mengalami Brian Fog. Hasil kajian kami juga menunjukkan bahawa mereka yang mengalami COVID-19 yang bergejala teruk (kategori 4 dan 5) lebih cenderong dikaitkan dengan Brain Fog berbanding dengan pesakit Covid yang bergejala ringan. Keadaan yang serupa juga dilaporkan di negara-negara lain (Sumber: JAMA Neurol. 2020; 77 (6): 683-690. Doi: 10.1001 / jamaneurol .2020.1127). Kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh diperlukan bagi memahami dengan lebih jelas kesan Long Covid serta Brain Fog ini.

Apa yang harus dilakukan oleh bekas pesakit COVID-19 sekiranya mereka mengalami Brain Fog? Perkara pertama dan paling penting adalah membuat temu janji dan berjumpa dengan pakar perubatan. Pemantauan rapi serta intervensi awal dapat membantu bekas pesakit COVID yang mengalami gejala Brain Fog.

Selain rawatan perubatan, individu yang mengalami Brain Fog perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti:

  • Memastikan mereka cukup tidur. Tidur yang berkualiti dapat membantu memperbaiki dan memulihkan badan kita.
  • Melakukan senaman secara berkala. Aktiviti fizikal tidak hanya membantu jantung dan paru-paru kita, tetapi juga dapat meningkatkan fungsi otak kita.
  • Memastikan makan makanan yang sihat dan seimbang untuk memberi nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita untuk kembali sihat.
  • Elakkan dari merokok atau mengambil alkohol. Amalan ini dapat membantu mengurangkan keradangan di otak kita.
  • Sentiasa berhubung dengan ahli keluarga dan rakan melalui apa cara termasuklah media sosial. Apabila masa mengizinkan, ikuti pelbagai aktiviti sosial. Aktiviti-aktiviti sosial memberi manfaat membantu pemikiran dan ingatan kita.
  • Libatkan diri anda denagn aktiviti-aktiviti yang bermanfaat seperti membaca novel, aktiviti yang merangsangkan kognitif; mendengar muzik; mengamalkan kesedaran; dan menjaga sikap mental yang positif.

Akhir sekali, elakkan dari dijangkiti COVID sekali lagi dan pastikan anda telah divaksinasikan secepat mungkin.

Bagi mengukuhkan kajian tinjauan  Long COVID, kami ingin menjemput semua individu yang telah pulih dari COVID-19 (tidak kira mereka menderita Long COVID atau tidak) untuk mengambil bahagian dalam kajian kami. Kajian soal selidik dalam talian ini mengambi hanya lebih kurang 10 minit sahaja.  Data yang diperolehi akan dirahsiakan.

Pautan ke tinjauan adalah: https://redcap.link/o13kt7tr

Bagi peserta kajian, kami juga ingin menjemput anda ke webinar Long Covid pada 18 September (Sabtu) 2021, 2 hingga  4 petang.

Pautan ke pendaftaran borang google adalah: https://forms.gle/mUuLfnmZYQsUC7uT7

Disediakan oleh Profesor Dr Moy Foong Ming dan Profesor Dr Noran Naqiah Hairi,

Jabatan Perubatan Kemasyrakatan dan Pencegahan
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

 

Scroll to Top