Johor Bahru: Seorang wanita ditahan berikutan memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Lebuhraya Senai-Desaru (arah Desaru) berhampiran susur keluar Tol Cahaya Baru, Khamis lalu.
Video kereta yang dipandu lawan arus di laluan berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin menerima kecaman ramai netizen.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata wanita berusia 46 tahun yang memandu kereta berkenaan ditahan selepas hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, semalam.
Katanya, polis berjaya mengenalpasti butiran kereta berkenaan selepas video kereta dipandu wanita berkenaan tular di media sosial, sebelum dia diminta hadir ke IPD Seri Alam untuk siasatan.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menerima satu rakaman video berdurasi 48 saat (rakaman dashcam) semalam yang dirakam orang awam, kira-kira jam 12 tengah hari, selepas ia tular di media sosial.
“Bertindak atas maklumat, JSPT Johor berjaya mengenalpasti butiran kereta berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 7 Januari atau Khamis lalu kira-kira 4.30 petang.
“Suspek wanita berusia 46 tahun itu hadir ke BSPT Seri Alam sebelum ditahan bagi siasatan lanjut, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam video yang tular itu, pemandu yang merakam kejadian berkenaan menerusi kamera dashcam sedang memandu laju di lorong kanan lebuh raya itu, sebelum dilihat terkejut dengan kehadiran sebuah kereta dipandu laju secara melawan arus sebelum mengelak ke kiri lorong bagi mengelakkan rempuhan berlaku.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, suspek wanita itu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,008 serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.
“Polis Johor memandang serius terhadap kesalahan sebegitu dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang.
“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat membantu pihak berkuasa,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Malay News
Social Media Updates



