10,000 sampah plastik jadi ‘muzium kesedaran’ – Utusan Digital

10,000 sampah plastik jadi ‘muzium kesedaran’ – Utusan Digital

GRESIK: Aktivis alam sekitar di Kota Gresik, Jawa Timur cuba menghantar mesej mengenai krisis bahan buangan plastik khususnya yang ditemukan di laut dan sungai yang semakin buruk di dunia dengan membina ‘muzium plastik’.

Reuters melaporkan, ini untuk meyakinkan orang ramai supaya memikirkan semula tabiat masing-masing dan mengatakan ‘tidak’ kepada penggunaan beg serta botol plastik.

Pameran terbuka ‘muzium plastik’ itu memakan masa tiga bulan untuk aktivis mengumpulkan lebih 10,000 sampah plastik, daripada botol sehingga beg dan jerami yang dikumpul dari sungai dan pantai tercemar.

Pengasasnya, Prigi Arisandi berkata, pihaknya mahu menghantar mesej kepada orang ramai untuk menghentikan penggunaan plastik sekali pakai.

“Plastik ini sangat sukar dikitar semula. Mulai hari ini, kita harus berhenti menggunakan plastik sekali pakai kerana ia mencemarkan lautan yang juga sumber makanan kita,” kata­nya.

Masalah plastik dilaporkan berada pada tahap ‘akut’ di Indonesia, di tangga kedua di belakang China berdasarkan jumlah sampah plastik yang ditemukan di laut.

Prigi memberitahu, pameran sisa plastik itu telah menerima lebih 400 pengunjung sejak dibuka awal bulan lalu.

Seorang pelajar, Ahmad Zainuri berkata, pameran itu membuka mata kepada setiap masalah yang diketengahkan.

“Saya insaf dan akan cuba elak menggunakan plastik yang boleh mendatangkan pencemaran teruk kepada alam sekitar,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ayu Chandra Wulan pula berkata: “Dengan melihat berapa banyak sampah yang ada di sini, saya berasa sangat sedih”.

Scroll to Top