AADK Pahang tahan 195 penagih dadah – Utusan Digital

KUANTAN: Seramai 195 individu termasuk tiga wanita ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana 1 yang dilaksanakan serentak di 1 daerah di negeri ini bermula Ahad lalu dan berakhir malam semalam.

Pengarah AADK negeri, Zirwatul Ahlam Zamzam berkata, 168 daripadanya positif dadah pelbagai jenis dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 55 tahun.

“Dalam tangkapan ini, kes positif dikesan membabitkan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine sebanyak 134 kes dan 34 kes lagi dadah jenis Opiat.

“Operasi yang dijalankan lima hari ini kami merampas pelbagai jenis dadah lain antaranya 91 biji pil kuda, 41.92 gram syabu dan heroin sebanyak 5.55 gram,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Zirwatul Ahlam, operasi siri pertama tahun ini memberi tumpuan kepada lokasi panas yang sudah dikenal pasti AADK.

“Kami memberi tumpuan ke kawasan sekitar Felda Keratong, Rompin; mukim Kuala Kuantan, Kuantan dan Kuala Pahang dan Pahang Tua di daerah Pekan.

“Kami turut menyerahkan 20 suspek kepada polis kerana mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan kes disenaraikan sebagai orang dikehendaki,” katanya.

Sementara itu, katanya, operasi seumpama itu diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha AADK menjayakan sasaran dadah terkawal di Malaysia menjelang 2025. – UTUSAN ONLINE