PKPD Taman Guru, Kuantan dan 2 kampung di Sarawak

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, Kampung Batu Gong dan Kampung Chupak, Daerah Kecil Siburan, Sarawak bermula 27 Mac  hingga 9 April ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, ia susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan peningkatan kes secara mendadak di kesemua kawasan tersebut.

Menurutnya, sebanyak 63 kes positif Covid-19 telah direkodkan KKM selepas 178 ujian saringan dijalankan ke atas penduduk di Taman Guru.

Sehingga 25 Mac lalu, sejumlah 50 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Kampung Batu Gong manakala 57 kes positif telah direkodkan di Kampung Chupak, Sarawak.

Keputusan diperoleh selepas 338 ujian saringan dilakukan di Kampung Chupak, Sarawak namun sebanyak 41 didapati negatif dan 240 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Pelaksanaan PKPD adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti. – MalaysiaGazette