Aaron imbau kenangan umrah bersama Sheikh Haikel, titip doa buat sahabat

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Aaron Aziz menyuarakan sokongan padu serta rasa kasih terhadap sahabat karibnya yang juga penyanyi rap Singapura, Sheikh Haikel yang kini berjuang dengan penyakit kanser dihidapi.

Perkongsian tersentuh itu dimuat naik oleh isterinya, Datin Diyana Halik menerusi satu hantaran video di akaun media sosial miliknya.

Aaron menerusi perkongsian video berkenaan mengimbau kembali detik awal ketika sahabatnya itu memaklumkan mengenai penyakit yang dihidapinya serta hajat untuk menunaikan ibadah umrah.

“Kepada abang saya, Sheikh Haikel. Apabila anda memberitahu saya bahawa anda menghidap kanser, anda mengatakan bahawa anda mempunyai satu harapan. Harapan anda adalah untuk pergi menunaikan umrah. Apa yang anda mahukan ialah anda dan Anna Belle (isteri Haikel) dapat berdoa di hadapan Kaabah.

“Dan Alhamdulillah, kami berjaya melakukannya. Perjalanan itu antara perjalanan yang paling tidak dapat dilupakan bersama anda, dan ia adalah sesuatu yang akan sentiasa saya hargai. Saya juga menanti-nantikan haji kita,” katanya.

Aaron turut menyeru orang ramai dan pengikutnya untuk mendoakan kesembuhan Haikel serta memberikan sokongan moral dan kepada perniagaan diusahakan sahabatnya itu.

“Oleh itu, saya harap sesiapa yang menonton video ini, tolong doakan Haikel dan Anna Belle. Tolong tunjukkan kasih sayang dan sokongan anda dengan datang ke Hai Ge Ji (restoran milik Haikel). Nasi ayamnya sangat menakjubkan.

“Pergilah ke sana, bawa keluarga anda, makan dan doakan Haikel dan Anna Belle. Saya ada di belakang anda. Semoga Allah menjaga anda. Teruslah kuat dan ketahuilah bahawa kami semua menyayangi anda. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Diyana menerusi keterangan hantaran itu turut berkongsi rasa terkesan apabila menyaksikan sendiri keakraban hubungan persahabatan antara suaminya dan Sheikh Haikel sewaktu berita duka itu diterima pada 27 Julai 2025.

“Masya-Allah, Tabarakallah. 27 Julai 2025, Aaron menerima satu panggilan telefon yang sangat menyedihkan. Selama ini, saya selalu fikir hanya kaum wanita yang mempunyai hubungan sebegitu, di mana kita boleh menelefon pada bila-bila masa dan meluahkan segala isi hati sambil menangis.

“Dengan lelaki, kita tidak begitu melihat hubungan seperti itu. Tetapi apabila ia berlaku, biasanya ia membawa satu berita yang benar-benar menyayat hati,” tulisnya.

Diyana menjelaskan bahawa hubungan akrab antara suaminya dan Sheikh Haikel amat mendalam, selain mengajak orang ramai terus mendoakan kesembuhan serta menyokong perniagaan restoran milik pasangan berkenaan yang terletak di Singapura.

“Hubungan antara Aaron dan Haikel begitu mendalam. Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang segera dan kekuatan kepadanya. Amin. Tolong doakan kesembuhan Haikel. Sokongan anda amat bermakna buat mereka. Sayang awak, Belle,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top