sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia meraih tiga gelaran pada Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa Malaysia 2026 yang melabuhkan tirai di Arena Badminton Perak di Ipoh, hari ini.
Irfan Shazmir-Genevie Lim muncul juara beregu campuran selepas menewaskan gandingan Lau Yi Sheng-Yap Rui Chen 21-18, 21-15 dalam tempoh 31 minit.
Kejayaan itu menyaksikan Irfan-Genevie meraih gelaran pertama mereka sebagai gandingan.
“Saya berasa gementar, terutama sebelum mencapai mata ke-11, tetapi selepas memperoleh beberapa mata lagi, rasa gementar itu hilang,” katanya.
Genevie pula menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai pembakar semangat untuk mereka terus memperbaiki konsistensi dan kekuatan menerusi latihan.
Dalam pada itu, Razeeq Danial turut menghadiahkan gelaran buat Malaysia selepas menjuarai perseorangan lelaki dengan menewaskan Muhammad Haziq 17-21, 21-12, 22-20 dalam tempoh 52 minit.
Razeeq bangkit selepas tewas pada set pertama sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan dan akhirnya memastikan kemenangan.
Sementara itu, Malaysia turut merangkul gelaran dalam beregu lelaki menerusi Lau Yi Sheng-Lee Yi Bo yang menewaskan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Isyraf Hafizin 22-20, 22-20 dalam tempoh 34 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
