saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara yang dibentuk secara sementara, Aaron Tai-Yap Roy King melakar kejutan apabila muncul juara Terbuka Artik di Finland, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas Aaron-Roy King, yang membuat penampilan sulung sebagai gandingan di Jelajah Dunia, menewaskan pasangan Taiwan ranking ke-60 dunia, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, 21-19, 21-19 pada aksi final.
Mereka mempamerkan ketenangan sepanjang perlawanan sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh 41 minit untuk merangkul gelaran pertama mereka,
Aaron dan Roy King, yang masing-masing adalah gandingan tetap Kang Khai Xing dan Wan Arif Junaidi, adalah sebahagian daripada eksperimen rombakan pasangan yang dilaksanakan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.
Kejayaan itu sekali gus memberi petanda positif terhadap percubaan berkenaan, apabila gandingan sementara itu membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dan menjuarai kejohanan Jelajah Dunia.
Dengan kemenangan itu, Aaron-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM141,460).
© New Straits Times Press (M) Bhd




