Wanita ditemukan rentung dalam kebakaran rumah

Wanita ditemukan rentung dalam kebakaran rumah

am@hmetro.com.my

Kuching: Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan pasukan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan selepas wanita itu dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.57 petang.

Menurutnya, sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama bantuan BBP Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.15 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat berstruktur separuh kekal.

“Rumah berkenaan didapati terbakar 100 peratus dan dihuni enam orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, seorang wanita dewasa dilaporkan masih terperangkap di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

Susulan itu, pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa selain melakukan kerja pemadaman menggunakan bekalan air daripada tangki jentera bomba.

Mangsa kemudian ditemukan dalam keadaan rentung pada jam 4.36 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 4.25 petang, manakala kerja pemeriksaan dan pembersihan bagi memastikan tiada lagi punca api dilakukan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.09 petang.

“Punca kejadian itu masih dalam siasatan lanjut oleh bahagian forensik kebakaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top