Aaron-Wooi Yik, DinFei mara ke pusingan kedua Terbuka Jerman

Aaron-Wooi Yik, DinFei mara ke pusingan kedua Terbuka Jerman

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan detik cemas sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Jerman, hari ini.

Pasangan nombor dua dunia itu dipaksa bekerja keras oleh gandingan Denmark, William Kryger Boe-Andreas Sondergaard sebelum mencatat kemenangan 21-16, 25-23 pada aksi pusingan pertama di Westenergie Sporthalle.

Turun selaku pilihan pertama kejohanan, Aaron-Wooi Yik dilihat sedikit bergelut terutama di set kedua, tambahan pula ia adalah kejohanan pertama mereka dalam tempoh sebulan selepas kali terakhir beraksi di Masters Indonesia, bulan lalu.

Selepas menguasai set pertama 21-16, mereka diuji hebat apabila Boe-Sondergaard bangkit memberi tentangan sengit dan mengheret perlawanan ke deuce pada set kedua.

Bagaimanapun, pengalaman memihak kepada juara Asia itu apabila berjaya menamatkan cabaran lawan 25-23 untuk mengelak aksi berlarutan ke set penentuan.

Satu lagi beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Perancis, Mael Cattoen dan Lucas Renoir, 21-17 dan 21-19 dalam masa 33 minit.

Terbuka Jerman yang bertaraf Jelajah Dunia Super 300 dianggap sebagai medan pemanas badan buat beregu negara menjelang cabaran sebenar di Seluruh England di Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top