Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah gagal lepasi peringkat kumpulan

Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah gagal lepasi peringkat kumpulan

EMPAT wakil negara termasuk juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah gagal melepasi saingan peringkat kumpulan di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, hari ini.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Aaron-Wooi Yik tewas kepada pilihan kempat kejohanan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China, 21-23, 24-22, 16-21, dalam perlawanan selama 66 minit di Arena Nimibutr.

Beregu negara itu, yang tunduk di tangan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 12-21, 15-21, 15-21, semalam, akan melengkap jadual dengan menentang beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, esok.

Bagaimanapun, beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menghidupkan semula peluang apabila mengalahkan beregu Korea Selatan, Choi Sui Gyu-Kim Won Ho, 21-17, 23-21 dalam Kumpulan A selepas tewas19-21, 16-21 kepada juara bertahan, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun pada perlawanaan pembukaan, semalam.

“Kekalahan semalam adalah pengajaran bagus kepada kami selepas begitu bertekad untuk menang semalam tetapi hari ini kami hanya mahu bermain seperti biasa tanpa tekanan dan ia berhasil,” kata Ee Yi kepada BWF selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, lalu ke separuh akhir berliku apabila Yew Sin-Ei berdepan dengan pilihan utama kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, esok.

Sementara itu, laluan Pearly-Thinaah untuk mara ke kelompok empat terbaik sudah tertutup susulan kekalahan kedua berturut-turut dialami mereka dalam saingan Kumpulan B apabila tewas di tangan juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 13-21, 15-21.

Dalam pada itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sen turut gagal mara ke saingan separuh akhir apabila tewas kepada beregu tuan rumah, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, 9-21, 12-21, dalam saingan Kumpulan A.

Pearly-Thinaah akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu manakala Vivian-Chiew Sen menentang beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai. esok.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal mengekalkan momentum rentak kemenangan apabila tewas kepada wakil tuan rumah,Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai of Thailand, 9-21, 11-21.

Selepas mengejut juara Sukan Olimpik Tokyo 2020,Wang Yi Lyu-Huang Dongping dari China, 23-21, 14-21, 21-16 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, semalam, Kian Meng-Pei Jing, masih mempunyai peluang mara ke separuh akhir sekiranya menewaskan wakil tuan rumah, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, pada perlawanan akhir kumpulan esok.

Dalam kumpulan A, satu lagi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal mara ke saingan separuh akhir selepas mengalami kekalahan kedua berurut-turut apabila tumpas kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-16, 18-21, 17-21. – Bernama