Aaron-Wooi Yik selangkah bergelar juara Terbuka China

Aaron-Wooi Yik selangkah bergelar juara Terbuka China
Aaron (kanan) dan Wooi Yik mara ke final Terbuka China selepas menewaskan pasangan India dalam aksi separuh akhir di Changzhou pada Sabtu. Foto Agensi.

Aaron (kanan) dan Wooi Yik mara ke final Terbuka China selepas menewaskan pasangan India dalam aksi separuh akhir di Changzhou pada Sabtu. Foto Agensi.

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selangkah untuk bergelar juara Terbuka China 2025 apabila mara ke final kejohanan berstatus Super 1000 itu pada Ahad.

Kejayaan berkenaan dilakar selepas pasangan nombor dua dunia itu menumpaskan wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam saingan separuh akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kanan apabila dilihat mudah mengawal permainan untuk menang set pertama 21-13.

Pengalaman nyata menjadi pemisah apabila pasangan negara mengesahkan kemenangan ke atas gandingan nombor 12 dunia itu 21-17 dalam masa 42 minit permainan.

Kemaraan ke pentas akhir itu juga memberi peluang buat Aaron-Wooi Yik untuk menambah koleksi kejuaraan selepas mengungguli Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Menerusi kemenangan tersebut menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu melebarkan jurang kemenangan 11-3 ke atas Rankireddy-Shetty.

Menanti Aaron-Wooi Yik dalam saingan akhir pada Ahad ialah pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang mengalahkan gandingan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-19, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Atas kertas, juara dunia 2022 itu dilihat memiliki kelebihan ke atas gandingan lawan yang berstatus kelima dunia apabila memenangi lima daripada lapan pertemuan.

 

Scroll to Top