Setia itu mahal

Setia itu mahal

Siapa sebenarnya yang harus dituding jari apabila kalimat “setia” dinodai?

Persoalan inilah dibangkitkan dalam drama Setia Itu Mahal arahan Jamal Khan yang akan menemui penonton di slot Akasia TV3.

Setia itu mahal terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd akan menguji kefahaman penonton mengenai makna sebenar kesetiaan yang cukup membelit jiwa.

Drama 28 episod yang mengangkat kisah seorang wanita terperangkap di persimpangan antara cinta dan nafsu ini menyatukan barisan pelakon popular tanah air seperti Anna Jobling, Zahiril Adzim, Redza Rosli dan Rita Nadira.

Skrip hasil penulisan Sophilea ini berkisarkan Dalina (Anna Jobling), seorang pereka fesyen terkenal, hidup bahagia bersama suaminya, Dr Hakim (Zahiril Adzim) dan anak mereka, Alia.

Namun, kebahagiaan itu mula tergugat apabila Tengku Farid (Redza Rosli), cinta pertamanya, kembali muncul menagih kasih yang tidak pernah padam.

Biarpun Tengku Farid kini adalah suami kepada wanita berpengaruh, Tengku Natasya (Rita Nadira) hatinya dikatakan masih berpaut pada Dalina.

Setiap lirikan mata dan setiap bicara seolah-olah menghidupkan semula rasa yang sudah lama terkubur dalam diri Dalina.

Dalam kelelahan mengurus keluarga, ditambah pula rasa terabai oleh suami yang terlalu sibuk, Dalina mungkin mula goyah.

Ketika Alia jatuh sakit dan Dr Hakim gagal dihubungi, Dalina tiada pilihan selain meminta bantuan daripada Tengku Farid.

Anna menyifatkan wataknya sebagai seorang wanita yang penuh kasih sebagai seorang ibu dan isteri, namun pada masa sama, juga seorang manusia biasa yang lemah dengan godaan.

“Dalina tak sempurna. Dia bergelut nak faham apa yang dia rasa dan dalam usaha nak buat yang terbaik, dia makin keliru dengan suara hatinya.

“Bagi saya kekuatan Dalina terletak pada hakikat bahawa dia bukan mangsa dan dia sendiri tak pernah cuba menjadi satu.

“Dia cuma terperangkap dalam dilema yang tak pernah dia minta. antara cinta lama yang muncul tanpa dijemput, dan kesetiaan yang semakin menjauh,” katanya.

Setia Itu Mahal mula menemui penonton mulai hari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Episod baharu secara percuma juga boleh distrim di iQIYI, bermula jam 8 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top