Dua tapak pembinaan di Setapak diarah tutup

Dua tapak pembinaan di Setapak diarah tutup

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua tapak pembinaan di Setapak di sini, diarahkan tutup, selepas dikesan gagal mematuhi tahap kebersihan dan keselamatan ditetapkan, semalam.

Tindakan itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan Siri 3/2026 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Operasi turut membabitkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

DBKL dalam kenyataan berkata, operasi terbabit menjalankan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah tapak bancuhan simen (batching plant) dan sebuah tapak pembinaan membabitkan pemeriksaan bahagian dalam dan luar kawasan itu.

Katanya, ia bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan tapak pembinaan, keselamatan pekerja selain permit kebenaran serta peraturan di tapak pembinaan sentiasa dipatuhi oleh kontraktor dan pemilik syarikat mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang jabatan dan agensi masing-masing.

“DBKL mengeluarkan 12 notis kompaun atas kesalahan kacau ganggu kesan daripada kerja pembinaan ke saluran longkang awam dan pembinaan bangunan sementara tanpa kelulusan serta pemeriksaan turut mendapati terdapat pembiakan nyamuk (jentik-jentik) dalam kawasan tapak pembinaan.

“Selain itu, kompaun terhadap lori kenderaan berat yang membawa bahan binaan tanpa permit laluan.

“Susulan itu, DBKL mengarahkan penutupan operasi kedua-dua tapak pembinaan itu sehingga tahap kebersihan dan keselamatan dipatuhi sepenuhnya,” katanya hari ini.

DBKL berkata, semua tindakan berkenaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, pihak PDRM dan JIM turut membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan permit bekerja terhadap 18 pekerja pembinaan warga asing.

“Pihak CIDB mengeluarkan dua notis N2/2015 kepada kontraktor utama dalam tempoh masa 14 hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan kerja pembinaan yang sedang dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top