Ab Rauf arah jentera BN pertahan calon daripada serangan peribadi

Ab Rauf arah jentera BN pertahan calon daripada serangan peribadi

am@hmetro.com.my

Melaka: Calon Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi serangan peribadi yang didakwa mula digerakkan pihak tidak bertanggungjawab menjelang pilihan raya.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata beliau antara individu terawal menjadi sasaran apabila isu lama berkaitan hal peribadinya mula tersebar di media sosial sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa jentera parti membantu mempertahankan calon dan pemimpin BN menerusi media sosial.

“Saya yakin selepas ini mereka akan mula menyerang peribadi (Datuk Mohd Noor) Helmy (Abdul Halem). Mereka gagal mencari ruang kesilapan kita mentadbir negeri ini, maka mereka akan mencari masalah yang menjurus kepada penghinaan peribadi.

“Justeru, orang Duyong, orang Telok Mas jangan leka. Kita bela calon kita, kita bela pemimpin kita, kita serang mereka balik,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya BN Parlimen Kota Melaka di Alai, di sini, malam ini.

Ab Rauf berkata, kesiapsiagaan jentera perlu merangkumi gerak kerja di lapangan serta penglibatan aktif dalam media sosial bagi memastikan maklumat tepat disampaikan kepada masyarakat.

Katanya, penggunaan telefon bimbit yang begitu dekat dengan kehidupan seharian menjadikan platform digital sebagai medan penting dalam menghadapi pilihan raya.

“Masuklah media sosial, jawab, lawan, serang. Gunakan kemudahan teknologi untuk mempertahankan pemimpin dan parti kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN akan memperkukuh gerak kerja menerusi Jalinan Rakyat (JR) Digital bagi melengkapi pendekatan bersemuka dengan pengundi.

Katanya, kaedah pelaksanaan gerak kerja itu akan diperincikan kepada jentera bagi memastikan usaha mendekati pengundi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top