Abang kata demam dah kurang sebelum 'pergi'

Abang kata demam dah kurang sebelum 'pergi'

farid_noh@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Imam Surau Al Jawhar, Taman Impian Emas, Muhammad Nazirul Jamaludin, 32, disahkan keluarganya meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, Rabu lalu.

Adiknya, Muhammad Zulhilmi Jamaludin, 29, ketika dihubungi mengesahkan abangnya meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi pada 28 April lalu.

Muhammad Zulhilmi berkata, beliau dan bapanya, Jamaludin Arif, 60, yang turut positif COVID-19 sedang dikuarantin di sebuah hospital kerajaan negeri ini, sejak Rabu lalu.

“Ya abang saya yang juga Imam Surau Al Jawhar, Taman Impian Emas, meninggal dunia Rabu lalu akibat COVID-19, seperti yang tular di media sosial hari ini.

“Namun, saya hanya boleh memberi pengesahan yang berlaku terhadap abang saya saja dan individu lain, biarlah pihak berwajib yang membuat penjelasan,” katanya.

Sejak pagi tadi tular di media sosial yang memaklumkan imam, bilal dan pengerusi Surau Al Jawhar, Taman Impian Emas, di sini, didakwa meninggal dunia akibat COVID-19.

Seramai 16 lagi jemaah surau berkenaan turut didakwa positif COVID-19.

Menceritakan lebih lanjut, Zulhilmi berkata, dia , Allahyarham abangnya serta ayah mereka, berasa tidak sihat dan demam sejak 23 April lalu.

“Pada Khamis, abang dan ayah membuat pemeriksaan di sebuah klinik berhampiran. Kami diberi ubat termasuk antibiotik dan pil demam kerana ahli keluarga saya sering demam akibat tonsil yang bengkak, dan kami sangka ia akibat penyakit itu.

“Allahyarham abang saya mengalami simptom demam dan tidak bermaya, saya pula demam dan sakit perut manakala ayah batuk dan tiada selera makan.

“Pada 27 April, saya mengajak Allahyarham abang tidur di ruang tamu berikutan kawasan di situ lebih luas. Ibu saya sempat memanggil Allahyarham untuk bersahur pada awal pagi 28 April lalu dan mendakwa tiada selera namun menjawab demamnya makin berkurangan,” katanya.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8 pagi, Muhammad Zulhilmi berkata, abangnya tiba-tiba mengadu sesak nafas dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham abangnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top