Georgetown: Gelagat kucing kampung seberat 10 kilogram (kg) yang tidur setiap petang di kaki lima sebuah kedai menjual peralatan upacara keagamaan masyarakat Cina di Lebuh Carnavon, di sini, menjadi tumpuan orang ramai.
Kucing jantan diberi nama Super itu turut dikenali sebagai ‘Abang Sado’ dalam kalangan peniaga di sekitar kawasan berkenaan kerana keberaniannya menghalau anjing liar di situ.
Peniaga, Kenny Lim, 37, berkata dia memelihara Super sejak lebih setahun lalu selepas kucing itu tersesat masuk ke kedainya.
Katanya, kasihan melihat keadaan kucing berkenaan yang lapar, dia memberi makanan dan memutuskan bagi membela haiwan terbabit.
“Waktu itu keadaannya sangat kurus dan saya membawanya ke klinik haiwan bagi mendapatkan rawatan serta memandulkan selepas ia beransur sihat.
“Sejak itu, badannya membesar dan kini beratnya sudah mencecah 10 kg menyebabkan Super turut digeruni anjing liar di kawasan ini,” katanya ketika ditemui, di sini.
Memperuntukkan lebih RM200 sebulan bagi membeli makanan kucing dan ikan, Kenny berkata dia juga turut menerima sumbangan makanan daripada peminat Super.
Katanya, kedainya turut dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong bagi bermain dengan kucing kesayangannya itu.
“Kini Super sudah macam superstar dan ia ibarat membawa tuah kerana sejak membelanya, kedai saya menjadi tumpuan orang ramai yang mahu bermain dengannya.
“Saya pernah didatangi kereta peronda polis menimbulkan persoalan sama ada berlaku kes jenayah di kawasan ini, rupa-rupanya anggota polis berkenaan hanya singgah sebentar bagi menghantar makanan dan bermain dengan Super, begitulah tarikannya di kedai saya,” katanya lagi.
Walaupun badannya yang besar, Super aktif pada waktu malam dan mampu melompat penghadang setinggi lebih dua meter di rumahnya.
“Ada kala apabila ada masa lapang, saya membawa Super bersiar-siar menaiki motosikal di sekitar bandar raya.
“Ramai juga yang menawarkan harga tinggi bagi membeli Super, namun saya tidak sanggup hendak menyerahkannya kepada orang lain kerana sudah menganggap ia seperti ahli keluarga.,” katanya.