ABPBH ke-33: Zahiril Adzim menang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular

Kuala Lumpur: Pelakon, Zahiril Adzim mengejutkan para peminat apabila diumumkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam semalam.

Pernah beberapa kali meraih trofi dalam pertandingan seperti Anugerah Skrin (ASK) 2019 dan trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22, Zahiril mula melakar kejayaan di pentas populariti.

Sebelum ini, Zahiril yang juga suami kepada Shera Aiyob, diumumkan antara 10 calon yang meraih undian tertinggi sejak pencalonan dibuka awal bulan lalu sehingga 1 November lalu.

Zahiril atau nama penuh, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar menewaskan calon pilihan seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Remy Ishak dan Zizan Razak.

“Kemenangan ini untuk ayah, Mohd Mukhtar Ibrahim yang sedang bertarung dengan sakit kanser tahap awal. Saya tak rasa popular pun, kelab peminat pun tak ada. Tetapi mungkin rezeki saya untuk terima kemenangan ini”, katanya.

“Ini kejayaan pertama saya di ABPBH. Terima kasih kepada kepada kelompok peminat yang saya gelarkan Angkatan Bobbysan. Mereka ini bukan saja menyokong kerjaya seni tetapi satu komuniti games”, tambahnya lagi.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk