mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan rock May, Abu melahirkan perasaan terkilan gagal mendapat royalti daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) pada tahun ini.
Abu atau nama sebenarnya, Mohd Nassier Yusof, 59, berkata, perkara ini berlaku disebabkan kesilapannya mengisi borang dengan betul seperti yang disyaratkan.
“Bukan salah sesiapa tapi silap saya sendiri. Sebenarnya saya tak pandai dalam bab isi borang dan upah orang buatkan. Jadi berlaku kesilapan kerana mungkin tak kena dengan maklumat sebenar saya.
“Kalau dulu saya dapat juga merasa royalti album May sekitar RM2,000 setahun. Jadi tahun ini memang tak dapat apa-apalah. Jika ada, sekurang-kurangnya duit ini dapat bantu apa yang patut.
“Mungkin tahun depan mereka boleh buat semula. Kena betulkan baliklah apa yang salah,” katanya kepada Harian Metro.
Abu berkata, perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan sekiranya dia hadir ke Sony Music Malaysia yang kini memegang hak terhadap album May.
“Album kami dulu diterbitkan oleh Warnada dan selepas itu Warnada berikan hak kepada BMG. Selepas itu BMG bergabung dengan Sony Music Malaysia.
“Sekarang ia hak milik Sony Music Malaysia sepenuhnya. Memang saya berhasrat nak ke sana tapi saya tak tahu di mana pejabat mereka dan nak hubungi siapa yang bertanggungjawab.
“Pada masa sama keadaan kesihatan saya juga tak mengizinkan. Jadi memang saya sukar nak bergerak jauh dari Ipoh, Perak,” katanya.
Terdahulu, Abu yang turut mengusahakan bisnes kecil-kecilan menjual barangan terpakai di Pasar Loken, Memory Lane, Ipoh memaklumkan dia mempunyai masalah saraf mata kiri dan sukar melihat dengan jelas serta bengkak kaki akibat uric asid yang tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




