am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Seorang mudir sekolah pondok yang dikenali sebagai ‘Abuya’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun di Kampung Kubang Batang, Tumpat pada 3 Mac hingga 9 Jun lalu.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.
Perbuatan itu dilakukan membabitkan mangsa sama di dua lokasi iaitu sebuah rumah di Kampung Kubang Batang, Tumpat dan sebuah masjid madrasah di Wakaf Bharu antara jam 12.30 tengahari hingga 5.30 petang pada tarikh 3 Mac hingga 9 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Irwan Sumadi.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon tertuduh dikenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan Mohd Irwan memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan anak guamnya sudah mempunyai kes sama sebelum ini.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, mudir madrasah berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, dekat sini pada 11 September lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tahfiz lelaki berusia 15 tahun dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 18 September lalu atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar tahfiz berusia 14 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




