Ada dalang cuba gugat keharmonian Selangor FC?

syafiq.aznan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC (SFC), Kim Pan-gon tampil membidas khabar angin yang mendakwa wujudnya masalah dalam bilik persalinan membabitkan pembocoran maklumat dan rancangan pasukan kepada pihak lawan.

Menganggap dalang di sebalik isu berkenaan sebagai ‘musuh’ yang cuba merosakkan keharmonian pasukan, Pan- gon menegaskan hubungan antara pemain dan barisan kejurulatihan ketika ini berada pada tahap yang sangat kukuh.

“Saya tidak bersetuju dengan sesiapa sahaja yang mereka-reka khabar angin sebegini. Saya rasakan sesiapa yang menyebarkan khabar angin seperti itu adalah musuh.

“Di dalam pasukan, kami sangat bersatu. Kesetiaan pemain saya begitu teguh. Saya tidak percaya kepada sesiapa yang bercakap perkara negatif.

“Barisan pemain saya sangat profesional dan cekal. Kami mempunyai nilai teras pasukan dan banyak sumbangan serta pengorbanan yang dilakukan demi pasukan. Antara faktor utamanya ialah kesetiaan dan satu lagi ialah etika kerja,” kata Pan-gon.

Malah, bekas jurulatih Harimau Malaya itu turut menganggap dakwaan itu tidak masuk akal kerana corak permainan SFC sememangnya sudah sedia maklum oleh pihak lawan.

“Taktik kami sudah diketahui ramai pihak dan setiap pasukan pun melakukan analisis terhadap pasukan ini. Saya tidak rasa maklumat khas boleh bantu sesiapa.

“Jadi, berhentilah bercakap tentang perkara negatif. Jangan cuba untuk merosakkan semangat pasukan kami. Jika anda mahu menyokong kami, kekal positif dan berikan dorongan kepada kami,” katanya.

Mengulas lanjut aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Star City FC, Pan Gon mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah cabaran lawan yang akan beraksi di laman sendiri, malam ini (Sabtu).

“Mereka lebih kuat daripada apa yang saya jangkakan. Mereka memiliki penyerang berpengalaman dan pemain jersi nombor 10 mereka (Pedro Henrique Da Silva) juga amat berpengalaman selepas menempa kejayaan di Liga Vietnam.

“Kami menghormati mereka dan akan merendah diri dalam menghadapi perlawanan ini tetapi dengan pendekatan yang mantap dan tegas. Kami tidak akan mengambil mudah mana-mana aspek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top