PETALING JAYA: Pelakon, Sharifah Haneesya mengakui masih berdepan kesukaran mendapatkan tawaran lakonan sehingga hari ini meskipun sudah lama berkecimpung dalam industri seni.
Haneesya yang sebelum ini dikenali sebagai Haneesya Hanee turut mempersoalkan sama ada pengalaman hampir sedekad dalam industri seni masih belum cukup memuaskan pelbagai pihak berpunca dari kontroversi yang melibatkan dirinya pada 2018.
“Sahaja hendak bagitahu, sampai ke hari ini saya masih susah dapat tawaran lakonan. Kadang-kadang saya rasa seperti masih membayar kesilapan yang saya lakukan pada 2018.
“Saya sudah agak lama dalam industri seni, tetapi untuk mendapatkan peluang membawa watak utama atau karakter yang lebih besar memang sangat sukar.
“Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya, cukup baguskah saya? Lakonan saya okay atau tidak? Adakah saya benar-benar mempunyai bakat?” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Tambah bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu, dia sudah mengambil pelbagau inisiatif untuk meningkatkan mutu lakonannya secara formal, namun bakatnya masih kurang disedari.
“Saya belajar teater selama dua tahun di Sekolah Seni. Saya juga pergi kelas lakonan dan sentiasa cuba belajar serta memperbaiki diri sebagai pelakon.
“Tetapi apabila peluang masih tidak datang, saya tidak dapat mengelak daripada tertanya-tanya, adakah semua usaha itu sia-sia? Adakah saya sebenarnya tidak cukup berbakat?
“Adakah sebab itu saya jarang muncul di televisyen (TV)? Adakah sebab itu juga orang tidak hubungi saya untuk tawaran watak?” jelasnya.
Dalam masa sama, Haneesya mengakui dia tidak pernah terlalu memilih watak dan sanggup menerima hampir setiap karakter yang diberikan demi mendapatkan peluang berlakon serta membuktikan kemampuannya.
“Saya menerima hampir setiap watak yang ditawarkan, termasuk watak yang mungkin dianggap ‘hina’ oleh sesetengah orang. Saya pernah diburukkan, disolek seperti badut, memakai pakaian pelik dan berwarna-warni serta membawa watak wanita ‘bimbo’ yang kelihatan tidak bijak.
“Saya bukan berkata begini kerana tidak bersyukur. Saya menerima semua watak itu kerana benar-benar mahu berlakon. Saya cuma mahukan peluang untuk membuktikan kemampuan diri,” kongsinya.
Bagaimanapun, pelakon itu turut mempersoalkan mengapa dirinya sering diberikan watak antagonis sehingga pada satu ketika mengaitkannya dengan warna kulit.
“Entah bagaimana, saya sering diberikan watak wanita jahat. Perempuan jahat, perempuan jahat dan perempuan jahat. Kadang-kadang saya tertanya-tanya, adakah kerana kulit saya gelap?
“Saya pernah menyalahkan banyak perkara, tetapi kebanyakan masanya, saya menyalahkan diri sendiri. Sejujurnya, sudah terlalu lama saya berasa seperti tidak wujud dalam industri ini,” tambahnya.
Pada masa sama, Haneesya menjelaskan luahan tersebut bukan bertujuan meraih perhatian atau mengalihkan tumpuan daripada isu lain yang sedang hangat diperkatakan.
“Saya berkongsi perkara ini bukan untuk merampas perhatian sesiapa atau mengalihkan perhatian daripada kes yang sedang tular ketika ini.
“Saya cuma gembira kerana akhirnya orang mula melihat dan mengakui perkara yang terpaksa saya lalui juga. Terima kasih kerana menyedari kewujudan saya. Saya benar-benar menghargainya,” ujarnya.


