‘Ada gaduh ke?’ – Anwar tepis dakwaan hubungan dengan Ahmad Zahid retak

AYER KEROH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan hubungan beliau dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini berada pada fasa retak menanti belah.

Dakwaan itu timbul selepas kedua-dua gabungan berkenaan memilih untuk tidak menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Julai lalu dan PRN Negeri Sembilan pada Ogos lalu.

Anwar menegaskan perbezaan pendirian atau persaingan di peringkat negeri tidak bermakna hubungan antara beliau dan Zahid di peringkat nasional mengalami keretakan.

“Itu pandangan peribadinya dan memang dia (Khairy) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai (tapi) dia berbeza. Dia jalur gaduh, saya jalur damai.

“Sebab itu tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Datuk Seri Zahid dan UMNO dan seluruh BN dalam memeterai Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa keadaan itu susulan hubungan antara dua pemimpin utama parti BN dan PH berkenaan berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.

Khairy berkata, hubungan BN dan PH semakin mencabar, khususnya selepas BN memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan.

Dakwa Khairy, kerjasama berkenaan mencetuskan keretakan besar antara BN dan PH, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana BN akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

Anwar ketika ditanya mengenai status hubungan dan kerjasama antara kedua-dua parti di peringkat nasional berkata, berjalan dalam keadaan baik dan tiada sebarang masalah.

“Ada gaduh ke? Peringkat negeri ada sikit. Biasalah, pak,” selorohnya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Berucap pada Kongres Nasional Keadilan 2026, beliau memaklumkan keputusan memansuhkan AUKU itu dibuat bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

Scroll to Top