Terima kasih PM! Pemansuhan AUKU hadiah perjuangan mahasiswa sepanjang zaman – Adam Adli

Terima kasih PM! Pemansuhan AUKU hadiah perjuangan mahasiswa sepanjang zaman – Adam Adli

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menyifatkan pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai manifestasi jelas komitmen kerajaan dalam memacu agenda reformasi.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan soal siapa yang menang atau pihak mana yang harus diberikan kredit, sebaliknya membawa makna besar kepada perjuangan mahasiswa sejak sekian lama.

“Saya tanggapi pengumuman PM berkait pemansuhan AUKU ini sebagai satu tanda besar terhadap komitmen terhadap reformasi.
“Pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit,” katanya kepada OhMyMedia, hari ini.

Terima kasih PM! Pemansuhan AUKU hadiah perjuangan mahasiswa sepanjang zaman – Adam Adli

Adam berkata pengumuman itu turut mengingatkannya kepada mereka yang pernah bersama dalam gerakan mahasiswa, termasuk individu yang berdepan tekanan dan hukuman namun tetap memilih untuk bersuara.

“Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama. Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara.
“Ini hadiah buat perjuangan anak mahasiswa sepanjang zaman,” katanya ketika mengulas akta yang digubal sejak 1971 itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman berkenaan.

“Terima kasih Perdana Menteri,” katanya ringkas.

Untuk rekod, Adam sendiri pernah menjadi antara aktivis mahasiswa yang lantang memperjuangkan kebebasan akademik.

Pada 9 Januari 2012, Jawatankuasa Tatatertib Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung pengajiannya selama tiga semester selepas beliau didapati bersalah atas dua pertuduhan tatatertib.

Artikel lain: Kerajaan akan mansuhkan AUKU, beri mahasiswa lebih kebebasan – PM Anwar

Tindakan itu menyusuli insiden Adam menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Disember 2011 sebelum menaikkan kain rentang menuntut kebebasan akademik.

Anwar sebelum ini mengumumkan pemansuhan AUKU ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Nasional PKR Ke-19 di Melaka pada Sabtu.

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus lebih bebas. Kita dah bebaskan dengan beberapa pindaan AUKU, ada yang tidak puas hati.
“Mereka mengemukakan memo, maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan AUKU,” kata Anwar.

Scroll to Top