Pelakon Nora Danish tersentuh selepas menerima mesej peribadi daripada seorang wanita yang mempelawanya berkenalan dengan suaminya bagi tujuan menjadi isteri kedua.

Memetik laporan Berita Harian, Nora, 44, tidak menyambut pelawaan tersebut, namun meluahkan rasa terharu terhadap wanita berkenaan yang menyatakan kesediaan mencari pasangan buat suaminya sendiri.
Menerusi mesej yang dikongsikan, wanita itu mendakwa suaminya seorang yang baik dan beriman, selain menyuarakan hasrat untuk membuka ruang perkenalan antara lelaki berkenaan dengan Nora.
“Assalamualaikum, Kak Nora. Suami saya beriman dan sangat baik. Saya juga sedang mencari jodoh kedua buat suami saya.
“Jika Kak Nora sudi ta’aruf bersama suami saya, saya amat berbesar hati,” tulis wanita itu.
Memberikan reaksi terhadap mesej tersebut, Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif menyifatkan wanita berkenaan sebagai seorang isteri yang baik.
Screenshot
Pelakon itu turut mengajak orang ramai mendoakan agar suami wanita terbabit terus setia serta memelihara hubungan mereka dengan penuh kasih sayang.
“Isteri syurga…
“Mari kita doakan agar suaminya setia padanya dan menjaganya dengan penuh cinta hingga akhir hayat,” tulisnya.
Dalam perkongsian berasingan, Nora mengakui mesej berkenaan membuatkan dirinya berasa sayu, meskipun dia sendiri tidak pasti bagaimana hendak memberikan reaksi.
“Tak tahu nak rasa apa. Kalau ini benar, sayunya hati. Ada juga isteri sebaik ini,” tambahnya lagi.
Sumber: Berita Harian (A’qilah Riduan)




