am@hmetro.com.my
Lipis : Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mencetuskan banjir kilat hingga menjejaskan kira-kira 50 rumah di penempatan Orang Asli di Pos Sinderut, sekali gus memaksa penduduk menyelamatkan diri dalam keadaan cemas.
Penduduk Kampung Cempian, Yok Him, 50, berkata, beliau sekeluarga dikejutkan daripada tidur apabila air tiba-tiba memasuki rumah melalui lubang lantai.
Menurutnya, limpahan deras dari Sungai Geram yang terletak kira-kira 50 meter dari kediamannya berlaku pantas sekitar jam 11 malam.
“Saya hanya sempat membawa keluar ahli keluarga ke tempat selamat. Pakaian dan bekalan makanan tidak dapat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Bukit Long, Mansurizal Manang, 45, berkata, banjir kilat berpunca daripada pertembungan aliran Sungai Geram dan Sungai Cempian selepas hujan lebat melebihi sejam.
Katanya, kejadian itu turut menenggelamkan jambatan utama ke Kampung Sinderut dan sebuah sekolah rendah, sekali gus memutuskan hubungan penduduk dengan kawasan luar.
“Malah, ada penduduk terpaksa berenang menyeberangi sungai untuk berpindah sementara ke rumah saudara di kawasan lebih selamat,” katanya.
Beliau memaklumkan semua penduduk yang terjejas kini selamat selepas dipindahkan ke kawasan lebih tinggi, manakala anggota bomba dan penyelamat tiba awal pagi bagi memantau keadaan serta keselamatan di lokasi.
Dalam perkembangan berasingan, banjir kilat turut melanda Mukim Batu Talam awal pagi tadi, menjejaskan sekurang-kurangnya dua rumah setakat ini.
Menurut laporan awal Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, kejadian sekitar jam 7 pagi itu membabitkan dua keluarga dari Kampung Batu Talam.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Agama Al-Falah dibuka menempatkan 16 keluarga membabitkan 49 mangsa. Jumlah sebenar mangsa dan kerosakan masih dalam proses pengesahan pihak berkuasa.
Semua agensi berkaitan digerakkan bagi melaksanakan bantuan awal, manakala perkembangan lanjut situasi banjir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




