bhnews@bh.com.my
GERIK: Menambah baik perkhidmatan perubatan, khususnya khidmat bersalin di klinik atau hospital bagi penduduk di Pengkalan Hulu adalah antara lima fokus utama manifesto calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tiada klinik menawarkan perkhidmatan bersalin di Pengkalan Hulu hingga memaksa rakyat di situ yang melahirkan bayi di Baling, Kedah.
“Apa yang berlaku, penduduk Pengkalan Hulu terpaksa ke Baling untuk bersalin. Ia menyebabkan timbul sentimen kerana sebagai penduduk yang berada dalam negeri Perak, penduduk Pengkalan Hulu sudah tentu mahukan anak mereka juga lahir di Perak.
“Apabila anak mereka lahir di Baling, pastinya kad pengenalan anak mereka tertera kod “02” (tidak akan mendapat keistimewaan sebagai rakyat Perak). Jadi, perkara ini agak luar biasa dan tidak munasabah yang perlu diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni rakyat kawasan dalam sesi kempen Walkabout di Pasar Awam Gerik, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Bahagian Gerik yang juga calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, Salbiah Mohamed.
Asyraf berkata, empat lagi perkara akan diberikan perhatian sebaik diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen Gerik adalah penambahbaikan infrastruktur, terutama jalan raya sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB), memaksimumkan potensi ekopelancongan, pemantapan konteks pendidikan bagi institusi pendidikan tinggi (IPT), serta pengupayaan institusi pengajian agama.
Beliau mendapati ramai mengeluh mengenai keadaan jalan raya yang menjadi antara perkara asas, khususnya jalan di antara Gerik-Jeli, selain jalan di kampung.
Mengenai potensi ekopelancongan, katanya, Gerik yang sememangnya dianugerahkan habitat alam flora dan fauna cukup indah harus dimanfaatkan.
Katanya, dalam konteks pendidikan, sebagai individu yang pernah berada dalam dunia akademik, beliau sudah berbincang dengan rakan termasuk mereka yang berada dalam Majlis Profesor Negara bagi mewujudkan konsep kampus satelit yang mana ia boleh diwujudkan di Gerik.
“Dalam memantapkan institusi agama khususnya pondok dan tahfiz, saya percaya dapat menggarap potensi supaya boleh dijadikan satu hab pendidikan agama di Gerik.
“Ini memandangkan mungkin ramai di luar sana tidak sedar bahawa Gerik dapatlah saya umpamakan sebagai `Serambi Makkah di Perak’ kerana persekitarannya (rakyat) yang cukup berminat kepada agama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




