am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Seorang penduduk di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, dekat sini, mempunyai hobi unik apabila membela ratusan ikan eksotik termasuk seekor ikan kelah tapir yang semakin pupus.
Muhammad Haniff Hassin, 43, berkata, dia membela 150 ekor ikan kelah merah dan 80 ekor ikan tengas yang ditangkap sendiri dan dibela di rumahnya.
“Paling istimewa ialah kelah tapir yang saya tangkap sejak sebulan lalu. Ada pihak tawarkan lebih RM6,000 untuk membelinya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, dia meminati ikan eksotik berbanding ikan hiasan lain untuk kepuasan diri.
“Setakat ini, ikan kelah tapir paling berharga kerana spesis itu jarang ditemui.
“Warnanya yang merah dan jingga selain bahagian mulutnya yang agak muncung seperti tapir menyebabkan ikan itu unik dan bernilai tinggi,” katanya.
Dia berkata, ramai peminat ikan kelah merah di seluruh negara datang ke rumahnya untuk melihat koleksi ikan yang dibela sejak lima tahun lalu.
“Selain bela ikan sebagai hobi, saya turut menjual ikan kelah dan tengas kepada orang ramai yang berminat dengan harga RM20 hingga RM5,000 seekor.
“Harga ikan kelah merah mahal kerana sukar ditangkap dan tidak dijual bebas di pasaran.
“Ikan kelah merah di negeri ini mempunyai identiti tersendiri dan berkualiti menyebabkan permintaannya agak tinggi,” katanya.
Menurutnya, hobi membela ikan kelah merah itu antara terapi minda yang paling berkesan.
“Saya meluangkan masa lebih tiga jam pada setiap malam memerhatikan gelagat ikan kelah merah berenang di dalam akuarium, maklumlah ikan kelah antara ikan sungai yang sangat aktif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




