ADALAH diberi akses wakili peserta GSF di Israel, doakan semua bebas secepat mungkin

ADALAH diberi akses wakili peserta GSF di Israel, doakan semua bebas secepat mungkin

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Peguam The Legal Centre for Arab Minorities Rights in Israel (ADALAH) diberi akses untuk mewakili peserta Global Sumud Flotilla (GSF) untuk prosiding guaman di Israel.

Perkara itu dikongsi pasukan guaman dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Seorang daripada lima peguam yang ke Jordan, Dir Kheizwan Kamaruddin berkata, pihaknya menerima perkembangan menggembirakan dari rakan sejawat (counterpart) di Israel ADALAH, bahawa mereka diberi akses untuk mewakili peserta GSF untuk prosiding guaman di Israel.

“Alhamdulillah, kami peguam CENTHRA juga baru sahaja selesai perbincangan dan taklimat kepada Duta Besar Malaysia di Jordan, Mohamad Nasri Abd Rahman.

“Taklimat meliputi perkembangan terkini penahanan secara tidak sah delegasi Malaysia oleh rejim Israel.

“Doakan kesemua rakyat Malaysia dapat dibebaskan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya malam ini.

Selain Dir Kheizwan, empat peguam lain yang terlibat ialah Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.

Sementara itu, Fahmi berkata, semoga apa yang dirancang dipermudahkan Allah.

“Teruskan beri tekanan dan sebarkan maklumat agar delegasi kita selamat dikeluarkan dari Israel secepat mungkin,” katanya.

Lima peguam itu yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan delegasi negara dalam GSF yang ditahan rejim Israel mendapat perlindungan undang-undang secara telus dan adil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top