BAGAN SERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri membuat laporan polis berkaitan beberapa buah premis perniagaan yang didakwa menjalankan operasi judi online secara terbuka di Tanjung Piandang.
Menurut Abdul Yunus, pihaknya menerima aduan daripada rakyat dikawasannya berhubung aktiviti tersebut.
“Berdasarkan aduan penduduk setempat, saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian membuat laporan polis.
“Tujuan laporan dibuat supaya pihak PDRM dapat segera mengambil tindakan tegas dengan menyiasat dan menangkap dalang yang terlibat dalam kegiatan tersebut,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Kerian Bagan Serai di sini semalam.
Kata Abdul Yunus, beberapa premis yang aktif menjalankan kegiatan itu kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kedai mini market.
Menurutnya, premis terlibat beroperasi 24 jam dan ada juga premis yang berselindung di sebalik perniagaan bagi mengelabui pihak berkuasa.
“Kegiatan seumpama ini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia memberi impak yang negatif kepada rakyat. Selaku wakil rakyat di kawasan ini, saya amat berharap agar ada satu tindakan yang tegas diambil ke atas semua premis-premis yang menjalankan kegiatan ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu untuk membuat beberapa pindaan undang-undang bagi aktiviti perjudian khususnya perjudian online.