am@hmetro.com.my
Melaka: Abang kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, antara 15 calon yang diketengahkan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Dr Muhammad Solehin Saleh, 40 dipilih sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Parlimen Jasin.
Pengumuman itu dibuat pada majlis memperkenalkan calon BERSAMA yang dihadiri pemimpin parti berkenaan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad di Batu Berendam, di sini malam ini.
Pada majlis itu, BERSAMA mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi DUN.
Ketika ditemui, Dr Muhammad Solehin berkata, hubungan kekeluargaan antara beliau dengan adiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tidak terjejas walaupun kedua-duanya berada dalam jalur politik berbeza.
Beliau berkata, hubungan mereka kekal rapat dan masing-masing memahami perjalanan politik yang diceburi.
“Saya dengan dia sangat rapat, kami okey dan tidak ada apa masalah. Kami adik-beradik memang selalu berbincang mengenai perjalanan politik masing-masing.
“Politik bukannya agama, hubungan adik-beradik adalah lebih penting berbanding politik,” katanya.
Beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) berkata dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka bergaduh dan tidak bertegur sapa adalah tidak benar, malah hubungan mereka sekeluarga kekal erat dan harmoni.
“Anak dia anak saya, anak saya anak dia. Ibu saya juga hadir memberi sokongan kepada saya, cuma ada orang luar di media kata kami bergaduh, sebenarnya tidak. Kami sangat baik.
“Dia (Akmal) adik yang baik, saya pun abang yang baik, semua okey,” katanya.
\
© New Straits Times Press (M) Bhd
