firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tempoh tiga bulan diperlukan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membantu meneliti dan menyusun semula pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum Kongres Pemilihan baharu boleh dibuat.
Semalam, kesemua Ahli Jawatankuasa (Exco) FAM sah meletak jawatan serta merta bagi membolehkan penyusunan semula dibuat khususnya dalam sistem pengurusan badan induk itu.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, tempoh masa tiga bulan itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan kajian mendalam termasuk sesi temu bual bersama pihak pengurusan tertinggi dan kakitangan badan induk itu.
“Kami telah memaklumkan kepada FAM bahawa kami memerlukan lebih kurang tiga bulan untuk menyediakan laporan tersebut. Ia adalah tiga bulan proses penilaian.
“Proses ini memerlukan kami turun padang, menemu bual pasukan pentadbiran, kakitangan dan semua pihak yang berada dalam struktur pentadbiran FAM. Selepas itu, barulah kami akan membentangkan laporan penuh,” katanya.
Proses penilaian itu akan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany dengan dibantu oleh beberapa pakar perunding luar.
Mengulas lanjut mengenai kandungan laporan itu nanti, Windsor menjelaskan bahawa segala dapatan akan menentukan bentuk perubahan yang perlu dilakukan demi kebaikan bola sepak negara.
Jelasnya, laporan itu akan mencadangkan sama ada wujud keperluan untuk dibawa ke peringkat Kongres FAM, perubahan dalam pentadbiran, atau rombakan yang perlu dilaksanakan oleh Setiausaha Agung.
Hasil penilaian yang bakal dibentangkan kepada Kongres FAM itu dijangka menjadi asas utama kepada perubahan struktur serta dasar baharu bagi menjadikan FAM sebuah organisasi yang lebih mantap, profesional dan relevan dengan landskap bola sepak antarabangsa semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




