AFC tiada kuasa siasat isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya

AFC tiada kuasa siasat isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menjelaskan badan itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, konfederasi itu juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang dikaitkan dengan isu berkenaan.

“AFC bukan polis. Saya mahu jelaskan perkara ini bahawa kami bukan badan penguat kuasa.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau memanggil sesiapa bagi siasatan. Kuasa itu terletak kepada pihak berkuasa undang-undang atau kerajaan yang berkaitan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Menurutnya, peranan AFC adalah memastikan tadbir urus serta pematuhan peraturan bola sepak dilaksanakan dengan telus dan berintegriti.

Katanya, sebarang tindakan disiplin hanya boleh diambil oleh pihak berkuasa berkaitan atau melalui Jawatankuasa Tatatertib AFC sekiranya terdapat pegawai bola sepak yang didapati melanggar peraturan.

“Jika terdapat pegawai bola sepak yang bertindak tidak wajar, perkara itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib AFC.

Jawatankuasa berkenaan akan meneliti peraturan, menentukan pelanggaran yang berlaku dan seterusnya mengenakan sebarang hukuman yang bersesuaian,” katanya.

Pada masa sama, Windsor turut menjelaskan kes membabitkan pemain tidak layak Timor-Leste dalam kelayakan Piala Asia 2019 berbeza sepenuhnya dengan isu melibatkan pemain skuad Harimau Malaya ketika ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai dan pengkritik agar tidak menyamakan kedua-dua kes berkenaan.

“Kami pernah mengendalikan kes melibatkan Timor-Leste, namun situasinya sangat berbeza dengan Harimau Malaya. Dalam kes Timor-Leste, pusingan kelayakan sudah berakhir ketika isu itu dikesan.

“Apabila pertandingan sudah tamat, hukuman tidak boleh dikenakan secara retrospektif. Sebarang tindakan perlu dilaksanakan bagi pertandingan seterusnya, sebab itu Timor-Leste dilarang menyertai edisi kelayakan berikutnya.

“Bagi Malaysia pula, isu ini dikenal pasti ketika kelayakan Piala Asia 2027 masih berlangsung. Jadi, kedua-dua kes ini tidak boleh dibandingkan kerana kuasa tatatertib perlu dilaksanakan mengikut masa dan konteks setiap situasi,” katanya.

Malaysia dijadualkan mengharungi satu lagi perlawanan dalam kelayakan Piala Asia 2027 iaitu bertemu Vietnam di tempat lawan pada hujung bulan ini.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan menggunakan tujuh pemain warisan yang didakwa terbabit dalam pemalsuan dokumen ketika perlawanan menentang Nepal dan Vietnam pada Mac 2025.

Ringkasan AI

  • AFC menyatakan tidak ada kuasa siasat dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan FAM
  • Setiausaha Agung AFC tegaskan AFC bukan badan penguat kuasa
  • Peranan AFC memastikan tadbir urus dan pematuhan peraturan bola sepak
  • Tindakan disiplin hanya boleh diambil oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Tatatertib AFC
  • Kes pemain tidak layak Timor-Leste dalam kelayakan Piala Asia 2019 berbeza dengan isu pemain skuad Harimau Malaya
Scroll to Top