firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Tentera Darat FA muncul juara sulung Piala Presiden Sumbangsih PBKL (Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) selepas menumbangkan JLJ FC 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, semalam.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Mohd Afendi yang menanduk masuk pada masa kecederaan babak kedua sekali gus mengecewakan kem JLJ FC.
Menurut Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar, beliau mengucapkan tahniah kepada pemenang dan berharap aksi pembuka tirai Liga Kuala Lumpur (Liga KL) itu akan melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
“Perlawanan Piala Presiden Sumbangsih ini aksi pembuka tirai untuk Liga KL musim ini. Saya harap saingan tahun ini akan lebih rancak dan paling utama pemain muda dapat dicungkil daripada pertandingan ini.
“Malah ia seiring dengan hasrat saya untuk memastikan perkembangan bola sepak di KL terus aktif,” katanya.
Untuk rekod, perebutan Piala Presiden Sumbangsih PBKL itu adalah yang pertama dalam sejarah bola sepak di KL.
© New Straits Times Press (M) Bhd