Airbus serah pesawat pertama A330NEO kepada Malaysia Airlines

Airbus serah pesawat pertama A330NEO kepada Malaysia Airlines

MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines telah menerima penghantaran pesawat A330neo pertamanya, menurut Airbus.

Dalam kenyataan pada Jumaat, pengeluar pesawat itu berkata, A330-900 adalah yang pertama daripada 20 unit yang disewa daripada Avolon oleh MAG yang menetapkan piawaian baharu untuk kecekapan bahan api dan pengalaman penumpang.

“Malaysia Airlines akan menggunakan pesawat ini bagi laluan di seluruh Asia dan Pasifik serta di laluan terpilih ke Asia Barat,” katanya.

Pesawat A330neo MAG dikonfigurasikan dengan susun atur premium dua kelas dan menampilkan 297 tempat duduk, termasuk 28 suite kelas perniagaan yang boleh dibaringkan sepenuhnya serta kabin ekonomi baharu yang mampu memuatkan 269 penumpang.

Menurut Airbus, MAG menjadi syarikat penerbangan ke-20 yang menyertai kumpulan operator global pesawat A330neo yang moden dan cekap bahan api.

Setakat ini, Airbus telah menyerahkan lebih daripada 140 pesawat A330neo kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia.

MAG memilih 20 pesawat A330neo dalam inisiatif pembaharuan kumpulan pesawatnya pada 2022 berikutan ukuran badannya yang lebar.

Bagaimanapun, penyerahan pertama pesawat A330neo kepada MAG yang dijadualkan pada September 2024 tertangguh berikutan penemuan yang dikenal pasti oleh Airbus ketika peringkat barisan penerbangan.

Sementara itu, MAG dalam kenyataan berasingan berkata pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-MNG berlepas dari Pusat Penyerahan Airbus di Toulouse, Perancis pada 28 Nov pada 8.52 malam waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini pada 4.52 petang waktu tempatan.

“Sebelum tiba di KLIA, pesawat itu mengadakan lintas hormat di ruang udara Kuala Lumpur dan membentuk formasi dengan jet pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sekali gus menawarkan pemandangan luar biasa kepada orang ramai,” katanya.

Setibanya di KLIA, pesawat itu diraikan dengan sambutan tradisi semburan air.

Kumpulan itu berkata pesawat MH5039 itu dikendalikan oleh Kapten Khairul Syukri Khalid, Kapten Azim Sham Che Din, Kapten Zainuddin Hussein dan Kapten Najwan Reshan Nahdan Rengganathan dengan tempoh perjalanan selama 13 jam.

Pesawat yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 terbaharu, A330neo akan menyertai barisan tujuh pesawat pengangkut A350 jarak jauh dan menggantikan 21 pesawat A330ceo secara berperingkat.

Pada Ogos 2022, MAG menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon untuk pemerolehan 20 pesawat A330neo yang dijadualkan untuk penyerahan sehingga 2028. – Bernama

Scroll to Top