Sesi kaunseling bongkar perbuatan bapa dera, ganggu seksual dua anak lelaki

Sesi kaunseling bongkar perbuatan bapa dera, ganggu seksual dua anak lelaki

KAMPAR: Sesi kaunseling di sebuah sekolah membongkar perbuatan keji seorang bapa yang disyaki mendera dan melakukan gangguan seksual terhadap dua anak kandung lelakinya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pendedahan mangsa berusia 14 tahun kepada gurunya itu telah membawa kepada penahanan suspek yang berusia 51 tahun pada Rabu lalu.

“Siasatan dimulakan selepas polis menerima maklumat daripada pihak sekolah berhubung pendedahan yang dibuat oleh seorang pelajar mengenai kejadian yang didakwa berlaku di rumah mereka.

“Hasil temu bual lanjut, polis mendapati abang mangsa yang berusia 19 tahun dan merupakan pelajar sekolah integrasi turut dipercayai menjadi mangsa perbuatan sama.

“Kedua-dua beradik itu tinggal bersama bapa mereka sejak lapan tahun lalu selepas kematian ibu mereka,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan terhadap suspek turut membawa kepada rampasan sebuah peranti elektronik miliknya untuk tujuan analisis forensik.

Katanya, permohonan reman telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dengan lebih terperinci.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan perubatan selain menerima perlindungan dan bantuan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mohamad Nazri berkata, polis memandang serius sebarang bentuk penderaan dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa sekali gus menjejaskan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top