PETALING JAYA: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Malaysia, Desa Petaling dekat sini, Jumaat lalu ditemukan dalam keadaan selamat, hari ini.
Afiqah Abdul Aziz, 15, ditemukan di sebuah kediaman di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, Selangor pada 9.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, remaja berkenaan datang ke rumah seorang penduduk tempatan untuk menumpang mengecas telefon bimbit.
Menurutnya, penduduk berkenaan menyedari remaja itu adalah individu yang dilaporkan hilang sebelum menghubungi ahli keluarganya dan pihak polis berdasarkan maklumat dan hebahan media sosial.
“Remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi urusan dokumentasi dan pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan semula kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu mengesan mangsa sehingga berjaya ditemukan.
Media semalam melaporkan, seorang wanita mendakwa mendengar jeritan meminta tolong daripada adik bongsunya sebelumnya remaja itu dilaporkan hilang dari kediaman PPR Sri Malaysia, Desa Petaling, dekat sini.
Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Aida dilaporkan berkata, adiknya, Afiqah, anak bongsu daripada enam beradik keluar dari rumah pada 6 petang hari kejadian
Mohd Rosdi. dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja perempuan itu.
Terdahulu kehilangan Afiqah tular di media sosial selepas beberapa keping gambar dimuat naik oleh seorang pengguna di Thread meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan remaja 15 tahun itu.- UTUSAN




