Serdang: Kesibukan sebagai atlet sofbol negara tidak menghalang Afrina Syahirah Kaharudin menggenggam ijazah selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus menyuntik motivasi tambahan sebelum beraksi di Sukan SEA ke 33 di Bangkok dari 9 hingga 20 Disember ini.
Atlet berusia 23 tahun itu menerima ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada Majlis Konvokesyen UPM ke 49 yang disempurnakan Pro Canselor, Tan Sri Peter Chin Fah Kui.
Bagi Afrina, membahagikan masa antara akademik dan latihan bukan perkara mudah, lebih lagi apabila perlu menyertai kejohanan peringkat antarabangsa, namun disiplin menjadi kunci untuk mengekalkan prestasi di kedua dua dunia.
“Mewakili Malaysia datang dengan tekanan besar, tapi saya belajar uruskan semuanya dengan fokus dan fikiran yang tenang,” katanya.
Dia mengakui pernah hampir berputus asa apabila berdepan subjek kejuruteraan yang mencabar serta jadual latihan yang padat sehingga terlintas untuk menukar kursus.
“Saya terlalu penat sampai terfikir nak tukar. Tapi bila bertenang, saya ingat balik perjalanan saya dari padang sekolah sampai ke peringkat negara. Kalau saya dah kuat sampai sini, tak wajar berhenti hanya sebab satu fasa sukar,” katanya.
Afrina berkata, kekuatan utamanya datang daripada sokongan ibu bapanya, Kamisah Sukir, 55, dan Kaharudin Samsudin, 55, yang juga bekas atlet sepak takraw negara.
“Mereka ulang alik ke latihan, tunggu berjam jam di padang dan pastikan saya ada peralatan terbaik walaupun bukan mudah bagi mereka,” katanya sambil menambah pensyarah dan pihak UPM turut banyak membantu menyesuaikan jadual akademiknya.
Dalam sukan universiti, Afrina turut mengharumkan nama UPM apabila mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) pada National Open Championship 2022 dan 2023, masing masing muncul juara.
Kini fokusnya terarah kepada misi memburu pingat emas di Bangkok bersama skuad sofbol wanita negara.
“Ini peluang besar untuk kami buktikan kemampuan sebenar. Saya nak beri yang terbaik, bukan saja untuk Malaysia tetapi untuk UPM yang membentuk saya menjadi atlet lebih matang,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




